utama

3 wanita maut, 11 orang selamat nahas di Segamat

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Tiga wanita maut, manakala 11 individu terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan pacuan empat roda di Kilometer 167 Jalan Johor Bahru-Seremban dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca kemalangan dan identiti mangsa.

"Siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ringkas.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Bandar Labis, Pegawai Bomba Kanan 11 Zakaria Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.55 petang membabitkan Perodua Alza, Honda Jazz dan Toyota Hilux.

Menurutnya, 16 anggota BBP Bandar Labis dan Bandar Baru Segamat dikerah ke lokasi bersama jentera sejurus maklumat.

"Kesemua mangsa yang maut dikeluarkan orang awam dan anggota BBP Bandar Baru Segamat yang tiba dahulu di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, mangsa yang maut menaiki Perodua Alza dipercayai berusia 89, 66 dan 62 tahun dan beralamat di Simpang Renggam dan Benut, Johor.

Mayat mangsa dihantar ke ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS).

Disiarkan pada: September 14, 2023 @ 8:34pm
d