mutakhir

Remaja hilang ditarik ombak selepas selamatkan lelaki lemas

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Seorang remaja hilang dikhuatiri ketika menyelamatkan seorang pengunjung yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Teluk Senangin di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli, 19, dilaporkan hilang akibat ditarik ombak selepas berjaya menyelamatkan seorang pengunjung lelaki.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak dalam kenyataan, pegawai dan empat anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.02 pagi.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis serta bantuan empat bot nelayan.

"Mangsa masih belum dijumpai dan Ops Carilamat tergendala atas faktor cuaca dan keadaan ombak.

"Bagaimanapun, komuniti nelayan sedang meneruskan pencarian dengan teknik lintang pukat," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2023 @ 2:02pm
d