mutakhir

Wanita maut, van bawa 11 pelancong Singapura jatuh cerun di Balik Pulau

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Balik Pulau: Van yang memuatkan 11 orang termasuk pelancong Singapura terjunam ke dalam cerun, di Jalan Teluk Kumbar, Bukit Genting di sini, hari ini.

Difahamkan, setakat ini, seorang wanita meninggal dunia manakala seorang lagi sedang diselamatkan pasukan bomba, manakala seramai lima mangsa cedera dan empat lagi parah, sudah dihantar ke hospital.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.14 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau yang diketuai Mohd Soffian Kamarul Baharin, ke lokasi sejurus menerima panggilan.

"Sebaik tiba di lokasi didapati sebuah van dengan muatan 11 penumpang termasuk pemandu terjunam ke dalam cerun kira-kira enam meter (20 kaki).

"Kesemua penumpang berkenaan terdiri daripada pelancong warga Singapura," katanya di sini, hari ini.

Menurut jurucakap terbabit, kerja menyelamat turut dibantu anggota dari BBP Balik Pulau dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.

Setakat ini, Harian Metro masih menunggu kemas kini status dan jantina mangsa yang terbabit.

Disiarkan pada: September 24, 2023 @ 10:31pm
d