mutakhir

YDP PAS Langkawi dilantik Speaker DUN Kedah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan Zubir, 60, dilantik sebagai Speaker DUN yang kemudian disokong ADUN Merbau Pulas merangkap EXCO Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Siti Ashah Ghazali.

Setiausaha DUN Kedah, Mohamad Azlee Ahmad kemudian, memaklumkan bahawa pihaknya menerima surat persetujuan secara bertulis daripada calon yang dicadangkan.

"Oleh kerana seorang calon saja yang dikemukakan dan bagi mematuhi Peraturan 4 (5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Kedah, maka saya dengan ini mengisytiharkan Zubir dipilih menjadi Speaker DUN Kedah," katanya ketika persidangan.

Sementara itu, ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dilantik sebagai Timbalan Speaker selepas namanya dicadangkan Muhammad Sanusi dan disokong ADUN Kuala Ketil, Mansor Zakaria.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti besar iaitu 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah.

Disiarkan pada: September 25, 2023 @ 12:04pm
d