mutakhir

Beli baju T sambil menderma kepada rakyat Palestin

Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Terengganu Fight (T-Fight) mengambil inisiatif mengadakan jualan amal baju T bagi mengumpul dana untuk membantu rakyat Palestin sebagai tanda solidariti.

Presiden Persatuan Muaythai Terengganu, Najmi Abdullah berkata, pihaknya menjual baju T berkenaan pada harga RM25 sehelai dengan RM5 daripada jualan akan dimasukkan ke dalam tabung berkenaan.

"T-Fight terpanggil untuk menyalurkan sumbangan dan membantu meringankan beban rakyat Palestin atas serangan bom yang dilakukan rejim Israel.

"Justeru, kita mencari dana dengan konsep menjual baju T berlambangkan Palestin dengan harga RM25 sehelai dan RM5 daripada setiap pembelian akan disumbangkan ke dalam tabung bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tabung Bantuan Palestin T-Fight, di sini, semalam.

Najmi berkata, pihaknya begitu serius dalam usaha membantu nasib yang menimpa rakyat Palestin.

"Kita menyasarkan sebanyak 50,000 helai baju T dijual di seluruh negara dan orang ramai atau mana-mana pihak bukan saja membeli baju semata-mata, malah boleh juga menderma ke tabung bantuan ini.

"Harapan kami adalah mahu memastikan sumbangan orang ramai hasil daripada membeli baju T ini sampai kepada rakyat Palestin," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2023 @ 4:04pm
d