mutakhir

Langkawi kekal status Geopark Global untuk 4 tahun lagi

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Status Langkawi sebagai geopark global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dilanjutkan selama empat tahun lagi apabila diberi penarafan kad hijau, baru-baru ini.

Ia membanggakan kerana pulau pelancongan ini mengekal pengiktirafan peringkat dunia itu buat kali keempat berturut-turut termasuk tiga proses penilaian semula sebelum ini pada 2011, 2015 dan 2019.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Abdul Wahid Abu Salim berkata, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dimaklumkan pengekalan status itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Geopark Unesco pada 5 September lalu.

"Tahniah kepada Langkawi kerana berjaya mengekal status kad hijau dalam pengesahan semula baru-baru ini, sekali gus melanjutkan keahlian pulau itu dalam Rangkaian Geopark Global (GGN) sehingga 2027.

"Pulau itu diberi status geopark global pada 1 Jun 2007 dan muncul Geopark pertama di Asia Tenggara pada masa itu," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Kursus Serantau GGN Ke-6 2023 di Mercure Hotel Langkawi, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden GGN dan Penasihat Langkawi Unesco Global Geopark, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo; Pegawai Pemasaran Kanan Biro Pengurusan Geopark Kepulauan Oki, Jepun, Yagoda Waloszyn dan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Norzaini Azman.

Julai lalu, akhbar ini melaporkan dua pakar iaitu Dr Yuanyuan Zheng dari China dan Dr Yongmun Jeon (Korea) berkampung di pulau ini selama lima hari bagi menjalankan proses penilaian semula status Langkawi Geopark.

Disiarkan pada: October 22, 2023 @ 10:26am
d