mutakhir

Polis akan lupus dadah bernilai RM4.48 juta

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Polis Pahang akan melupuskan 12 jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM4.48 juta membabitkan kes dari 2008 hingga tahun ini, esok.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata antara yang akan dilupuskan ialah heroin, methamphetamine, yaba, ketamin, ubat batuk, air ketum dan daun ketum.

Katanya, nilai keseluruhan dadah yang akan dilupuskan itu adalah RM4.48 juta.

"Pelupusan dadah ini akan dilaksanakan oleh kontraktor bertauliah dan profesional di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, pada 12 tengah hari, esok.

"Dadah ini dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah yang sudah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan terhadap pesalah kes terbabit tamat," katanya oada sidang media majlis pelupusan barang kes dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu, berdasarkan statistik kes dan tangkapan sepanjang tempoh 1 hingga 23 Oktober lalu, beliau berkata seramai 970 individu ditahan yang membabitkan 876 kes.

"Sebanyak 615 operasi dilaksanakan sepanjang tempoh itu dalam usaha melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2023 @ 4:25pm
d