Bola Sepak

JDT menang tipis di Kota Bharu

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan meraih kemenangan 2-0 ketika menentang Kelantan United FC (KUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, malam ini.

Selepas 10 minit sepak mula, Muhammad Syahmi Safari terlebih dahulu nyaris menghasilkan gol pembukaan pelawat namun sekadar melepasi tiang gol KUFC.

Selang dua minit, Diogo Luis Santo gagal menterjemah gol selepas menerima umpanan cantik Muhammad Nazmi Faiz Mansor ketika gawang tuan rumah sudah terbuka luas.

Cubaan jarak jauh Fernando Martin Forestieri juga tersasar pada minit ke-25 sekali gus menyaksikan Harimau Selatan terus kempunan jaringan.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas berakhir separuh masa pertama dan selepas memasuki babak kedua, gol yang ditunggu-tunggu JDT akhirnya tiba menerusi rembatan Forestieri pada minit ke-74.

Mohamad Shahril Sa'ari bijak menampan keluar bola yang disepak Muhammad Akhyar Abdul Rasyid hasil hantaran Arif Aiman Mohd Hanafi minit ke-86 untuk menafikan gol kedua JDT.

Berbaki seminit tamat perlawanan, pemain gantian, Bergson Da Silva mengesahkan kemenangan JDT dengan rembatan kencang untuk gol kedua pelawat.

Disiarkan pada: October 28, 2023 @ 10:38pm
d