mutakhir

SPR tubuh lima pasukan penguatkuasa kempen

Oleh BERNAMA

Kemaman: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan lima Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan berkata semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.

Beliau berkata calon yang sudah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga diingatkan bahawa mereka tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang, simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen.

"Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen,gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya," katanya.

Selepas pengisytiharan calon bertanding dalam PRK itu hari ini, masa berkempen kini bermula sehingga 11.59 malam, 1 Disember ini.

Disiarkan pada: November 18, 2023 @ 1:58pm
d