Bola Sepak

NSFC nekad teruskan rentak kemenangan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas membenam PDRM FC di tempat sendiri Sabtu lalu, Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu meneruskan rentak kemenangan ke atas Kelantan United FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Bek kanan NSFC, Che Rashid Che Halim berkata, dia tidak rela misi mengutip tiga mata tersasar selepas mereka mempamerkan persembahan cemerlang ketika menewaskan PDRM.

Katanya, kemenangan ke atas Kelantan United perlu direalisasikan dalam memastikan sasaran pasukan untuk menamatkan saingan liga musim ini di tangga kesembilan, tercapai.

"Pasukan perlu meneruskan persembahan terbaik dan memastikan kemenangan ke atas PDRM dapat diteruskan ke atas Kelantan United.

"Saya dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk meneruskan persembahan terbaik dan mengharapkan segala perancangan kami akan membuahkan hasil," katanya.

Pemain berpengalaman selama lapan tahun dalam liga tempatan dan beraksi lebih 100 perlawanan sejak 2013 itu menuntut semua rakan dalam skuad Hobin Jang Hobin untuk memberikan komitmen tinggi sepanjang tempoh 90 minit permainan itu nanti.

Menurutnya, pemain NSFC perlu berhati-hati kerana Kelantan United jelas memiliki kekuatan tersendiri berdasarkan pengalaman bertemu pasukan itu sebelum ini.

Disiarkan pada: November 30, 2023 @ 9:22pm
d