mutakhir

Balu Allahyarham Azman bersyukur ramai ambil berat

Oleh Redzuan Muharam

Petaling Jaya: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) selain Faedah Pencen Penakat (FPP) kepada keluarga juruteknik audio TV3, Azman Hasan yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 27 November lalu.

Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, serahan dibuat kepada balu Allahyarham, Roslina Ramli, 45, yang perlu menyara lima anak berusia enam hingga 19 tahun.

Menurutnya, pembayaran dibuat hasil tindakan pantas Skuad Prihatin Perkeso (SPP) yang membuat semakan dengan majikan Allahyarham iaitu Media Prima Berhad (MPB).

"Waris layak menerima FPM berjumlah RM2,000 dan FPP yang mula dibayar sejak 27 November lalu untuk seumur hidup balu.

"Ia juga merangkumi wang untuk menampung perbelanjaan anak Allahyarjam sehingga usia 21 tahun atau sehingga anak bongsunya tamat pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan serahan kepada balu Allahyarham di Kota Damansara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damasara Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Sementara itu, Roslina bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Perkeso, MPB dan wakil rakyat kerana sudi menziarahinya sekeluarga di rumah.

"Selepas ketiadaan suami, saya sangat rasa kehilangan dan kosong kerana arwah pergi mengejut iaitu selepas pulang daripada hantar anak ke kampus.

"Mulanya memang buntu memikirkan bagaimana kehidupan dengan anak-anak tanpa arwah kerana sudah lama tak bekerja. Anak sulung pula menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

"Tapi bersyukur kerana ramai ambil berat dengan kami anak-beranak dan terima kasih sangat kepada Perkeso, MPB dan Yang Berhormat (YB)," katanya.

Katanya, sumbangan yang diterima secara tidak langsung dapat meringankan beban untuk menampung keperluan dan perbelanjaan keluarga.

Disiarkan pada: December 12, 2023 @ 2:06pm
d