mutakhir

Patah 2 paha kereta terbalik

Georgetown: Seorang lelaki berusia 30-an patah kedua-dua paha selepas kereta Mercedes Benz dipandunya hilang kawalan lalu terbalik dalam kemalangan di Kilometer (KM) 4.2 Jambatan Pulau Pinang (arah pulau ke tanah besar), di sini, pada jam 5.30 petang semalam.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 petang sebelum dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Beliau berkata, sebaik sampai pihaknya melihat kereta itu terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas manakala mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk termasuk patah kedua-dua paha dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Punca kejadian masih disiasat dan kemalangan itu menyebabkan berlaku kesesakan teruk di kedua-dua hala Jambatan Pulau Pinang,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2016 @ 6:31am
d