mutakhir

Sengaja cari pasal...

Oleh Amir Hamzah Nordin

Jerantut: Dua individu yang memandu secara berbahaya di Batu Satu, Jalan Jerantut-Benta di sini, sehingga rakaman video kejadian itu tular di media sosial menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Azman Mat Kamis berkata, pihaknya mengesan klip video berdurasi 52 saat yang tular di media sosial menunjukkan sebuah lori yang dipandu secara berbahaya dan menghimpit sebuah kereta Proton Persona.

"Hasil siasatan, kejadian berlaku pada 23 Disember lalu kira-kira 8.30 pagi membabitkan kedua-dua pemandu yang berusia lingkungan 20-an dan 60-an.

"Kejadian berlaku akibat provokasi yang tercetus antara kedua-dua pemandu kenderaan sehingga pemanduan mereka mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengesan kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan.

"Kedua-dua pemandu berkenaan sudah hadir ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jerantut untuk siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2023 @ 6:36pm
d