mutakhir

Lelaki warga Bangladesh ditahan memiliki 6 pasport antarabangsa palsu

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Seorang warga Bangladesh ditahan bersama beberapa pasport antarabangsa palsu dalam Ops Serkap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor di Taman Abad di sini, malam tadi.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, operasi pada 9.10 malam itu adalah hasil maklumat awam dan risikan.

Beliau berkata, serbuan ke atas kedai makan itu, seorang juruwang warga Bangladesh ditahan selepas didapati memiliki pasport antarabangsa palsu pelbagai negara.

Menurutnya, tiga bungkusan plastik merah yang mengandungi enam pasport warga Bangladesh dan India ditemukan di dalam laci di sebuah bilik berkunci di kedai makan berkenaan.

"Keseluruhan tiga lelaki warga Bangladesh termasuk juruwang berkenaan dan dua perempuan warga Indonesia yang bekerja di kedai makan berkenaan ditahan.

"Mereka berusia antara 22 hingga 45 tahun dan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Baharudin berkata, juruwang terbabit ditahan di bawah Seksyen 55e Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu memberi kebenaran pendatang asing tanpa izin (Pati) berada di dalam premis serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa yang sah memilik pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya sendiri.

Menurutnya, manakala dua wanita Indonesia ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Katanya, dua lagi warga Bangladesh ditahan di bawah Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Disiarkan pada: January 4, 2024 @ 3:22pm
d