mutakhir

Pesawah maut dalam kemalangan di simpang lampu isyarat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: Akibat tidak berhenti ketika lampu isyarat merah, pesawah maut selepas motosikal ditunggangi berlanggar dengan motosikal lain di persimpangan lampu isyarat Pekan Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi, mangsa berusia 52 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan, manakala seorang lagi penunggang berusia 27 tahun cedera di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi lelaki berusia 52 tahun dari arah Alor Setar ke Sungai Petani dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

"Ketika itu motosikal yang ditunggangi pemuda berusia 27 tahun dari arah Jalan Jenun ke Sungai Yan sedang meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau.

"Akibatnya, motosikal terbabit tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa yang tiba-tiba melintas di hadapannya menyebabkan mereka terjatuh.

"Kedua-dua penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Yan, namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 22, 2024 @ 3:49pm
d