mutakhir

Hanya 782 mangsa banjir masih di PPS di Terengganu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Situasi banjir di Terengganu semakin beransur pulih dengan 782 mangsa daripada 228 keluarga dilaporkan masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun.

Malam tadi, seramai 923 mangsa daripada tujuh keluarga berlindung di tujuh PPS di daerah berkenaan.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dewan Serbaguna Kampung Shukor menempatkan seramai 226 mangsa (61 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan seramai 247 mangsa (96 keluarga).

PPS di Masjid Jamek Kampung Jongok Batu pula menjadi tempat berlindung 126 mangsa daripada 24 keluarga.

Selain itu, PPS di Dewan Serbaguna Kampung Paya Kemudi masih beroperasi bagi menempatkan 75 mangsa (19 keluarga).

Seramai 34 mangsa (enam keluarga) berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut, manakala Dewan Masjid Kampung Serdang pula menjadi tempat berlindung kepada 74 mangsa (22 keluarga).

Keadaan cuaca ketika ini mendung di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Disiarkan pada: January 29, 2024 @ 9:28am
d