mutakhir

Formula unjuran keperluan guru

Oleh Mahaizura Abd Malik

Putrajaya: Ketidakseimbangan jumlah tempat kekosongan yang ditawarkan bekas guru bersara dengan bekalan lepasan graduan jurusan pendidikan yang keluar dari pusat pengajian mewujudkan jurang antara kedua-duanya.

Situasi ini sudah tentu me-ngakibatkan graduan terpaksa bersaing merebut kekosongan yang terhad sedangkan hakikatnya tiada sebarang jaminan sama ada mereka layak memenuhi kriteria pemilihan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan bagi mengisi jawatan ditawarkan.

Menyedari situasi tersebut, kementerian berkenaan komited menyediakan unjuran keperluan guru menggunakan kaedah saintifik dan berasaskan keperluan dan andaian membabitkan dasar semasa dan masa depan bagi memastikan guru yang dilantik memenuhi keperluan.

Ketua Sektor Unjuran Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Dr Rosli Ismail berkata, penyediaan unjuran keperluan guru adalah satu daripada aspek penting dalam perancangan sumber manusia kementerian itu supaya tidak berlaku kekurangan ketara di sekolah seluruh negara.

“Kita sasarkan seboleh-bolehnya pada setiap tahun jumlah keperluan guru perlu seimbang dengan penawaran, cuma situasi sebenar di sekolah apa yang berlaku ialah setiap hari ada jawatan yang akan dikosongkan, namun keluaran latihan (graduan) tak boleh keluar setiap hari, hanya sekali atau dua kali setahun.

“Dalam merancang keperluan guru di sekolah bagi memastikan kekosongan jawatan yang berlaku dari semasa ke semasa diisi dengan cepat, kita perlu merancang graduan keluar terlebih dahulu pada tahun sebelum atau awal tahun.

“Pada masa sama, graduan berkenaan perlu menunggu proses pengambilan dan lantikan untuk mengisi tempat kekosongan, namun tiada jaminan penempatan diberikan berikutan kementerian hanya memilih mereka yang berkualiti saja untuk mengisi jawatan ditawarkan,” katanya.

Menurut Dr Rosli, unjuran keperluan pendidikan dilaksanakan sebuah jawatankuasa kerja unjuran keperluan guru yang dianggotai 15 bahagian operasi yang memuktamadkan semua keputusan.

“Ada beberapa elemen yang dikenal pasti memberi implikasi kepada perancangan keperluan guru antaranya perubahan umur bersara melambatkan berlakunya kekosongan jawatan di kementerian serta dasar dan perancangan baharu yang diperkenalkan turut mengubah senario keperluan guru dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, penyediaan unjuran berkenaan juga perlu mengambil kira beberapa elemen penting yang saling berkait rapat antara satu sama lain bagi mendapatkan ketepatan data.

“Sebelum membuat unjuran kita perlu melihat keperluan guru memenuhi tuntutan dasar dan program pendidikan semasa seperti transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), keperluan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) atau memenuhi keperluan kurikulum.

“Kita juga perlu menganalisis trend enrolmen dari segi populasi penduduk di seluruh negara termasuk kadar kelahiran bagi menentukan jangkaan bakal murid baharu yang akan memasuki sekolah.

“Kita juga perlu melihat stok guru iaitu jumlah guru sedia ada diselaraskan dengan guru yang bakal meninggalkan sekolah seperti bersara wajib atau pilihan mahupun berpindah untuk mengisi jawatan di bahagian atau jabatan pendidikan negeri (JPN) yang masih kosong,” katanya.

Menurutnya, bagi memenuhi keperluan guru di sekolah dari segi jenis subjek mata pelajaran, lokasi dan sebagainya kaedah utama digunakan dalam merancang unjuran ialah melalui bekalan latihan guru sama ada jangka panjang dan jangka pendek.

“Kaedah jangka panjang ialah membabitkan Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) yang memakan masa lima tahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) manakala empat tahun di universiti awam (UA) kita kawal jumlahnya supaya tidak melebihi guru bersara paksa. Ini dapat mengelakkan isu lebihan graduan pada masa depan.

“Bagi kaedah jangka pendek pula iaitu Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) diberikan latihan iktisas perguruan selama setahun setengah yang boleh digunakan untuk memenuhi keperluan subjek elektif dan keperluan lokasi termasuk kawasan pedalaman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Unit Ambilan Guru Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Izral Zuhairi Mohamad Desa berkata, pembidaan jawatan menggunakan konsep anggaran belanja mengurus akan dilakukan setiap tahun selepas proses penyediaan unjuran.

“Konsep ini berkait rapat dengan penawaran jawatan dengan enrolmen murid dan bilangan kelas yang dibuka di sekolah di bawah kementerian seluruh negara.

“Dalam jawatankuasa di peringkat operasi kita juga berkolaborasi dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSM) iaitu satu badan yang bertanggungjawab melaksana penempatan selain membabitkan penyertaan IPGM serta UA yang menawarkan bekalan graduan.

“Semua pengumpulan data graduan dari 27 IPGM dan 13 UA yang kita terima akan diproses dalam merancang pengambilan guru baru berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen,” katanya.

Katanya, segala penyaluran keputusan dan proses penempatan masih dilakukan dalam talian ke JPN yang bertanggungjawab membekalkan guru baru ke peringkat daerah sebelum menempatkan mereka ke sekolah untuk melakukan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Kebiasaannya penempatan akan dibuat sekurang-kurangnya empat kali setahun berdasarkan keperluan untuk mengisi kekosongan dan penempatan terbesar berlaku pada sesi pembukaan sekolah pada awal Januari dan berterusan sehingga hujung Januari.

“Kita juga ada penempatan guru baharu pada Jun dan akhir sekali pada September berdasarkan bekalan yang diperoleh dari semua IPGM dan UA seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2016 @ 5:14am
d