Sukan Lain

Impian Ratcliffe beli 25% saham United tercapai

Oleh Agensi

London: Sir Jim Ratcliffe menerima kelulusan daripada Liga Perdana mengenai pengambil alihan 25% saham Manchester United.

Tawaran £1.03 bilion (RM6.18 bilion) daripada ahli perniagaan British itu untuk melabur di kelab Old Trafford terbabit diumumkan pada Krismas lalu.

Ratcliffe mencapai persetujuan perjanjian dengan pemilik kelab, keluarga Glazer yang membolehkan dia mengawal operasi bola sepak dan bertanggungjawab dalam keputusan penting membabitkan perniagaan.

Kini kontrak ketua INEOS itu akhirnya hampir dilengkapkan selepas mendapat kelulusan Liga Perdana, menurut The Telegraph.

Persatuan Bolasepak akan menandatangani persetujuan akhir beberapa hari lagi selepas Ratcliffe melanjutkan tawaran pembelian sehingga tengah malam Jumaat ini.

Keluarga Glazer yang menguasai United pada 2005 dengan harga £790 juta (RM4.74 bilion) mahu menjual kelab itu pada November 2022. Ratcliffe berdepan persaingan daripada taikun Qatar, Sheikh Jassim tetapi akhirnya tawaran diterima selepas empat bidaannya ditolak sebelum ini.

Disiarkan pada: February 14, 2024 @ 6:03pm
d