utama

Individu pertama di Terengganu kena sebat kerana khalwat

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Buruh binaan menjadi pesalah khalwat pertama di Terengganu yang dikenakan empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, ]hari ini.

Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, turut didenda RM3,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Keputusan dibuat Hakim Syarie Hamidi Shafie selepas lelaki itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2002 kerana berkhalwat.

Hukuman sebat dikenakan berikutan ia kesalahan kedua tertuduh dan akan berlangsung di penjara selepas tamat tempoh rayuan.

Tertuduh juga dihantar ke penjara kerana gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Affendi didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita berusia 30-an di sebuah premis kosong di Kemaman antara jam 1.10 pagi hingga 2.15 pagi, 25 Januari lalu.

Disiarkan pada: February 19, 2024 @ 3:16pm
d