mutakhir

Maut akibat rempuh belakang lori

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang sebuah lori di Jalan Rawang Bypass, di sini, hari ini.

Lelaki berusia 28 tahun yang menunggang motosikal Yamaha R15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihak polis menerima laporan kejadian pada jam 9.13 pagi.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang dalam perjalanan dari Serendah menghala ke Selayang melanggar belakang lori dipandu lelaki berusia 29 tahun.

"Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Ariffin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: February 20, 2024 @ 3:27pm
d