Bola Sepak

Piala Presiden, Belia lubuk cungkil bakat pelapis - Md Dali

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Dua saingan peringkat pembangunan iaitu Piala Presiden dan Piala Belia dianggap pentas utama bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat mewakili negara suatu hari nanti.

Malah, dua kejohanan umpama 'lubuk' pemain pelapis kebangsaan itu diharapkan dapat mencungkil bintang baharu, sekali gus boleh memperkuatkan pasukan kebangsaan khususnya skuad Harimau Muda.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid, saingan Piala Presiden membabitkan usia pemain Bawah 20 Tahun (B-20) dan Piala Belia B-19 antara komponen penting dalam sistem pembangunan.

"Pertandingan Piala Presiden dan Belia adalah projek pembangunan, saya yakin ini landasan untuk negeri memilih pemain mewakili negeri di Sukma (Sukan Malaysia) nanti.

"Malah, kita yakin akan lahir pemain terbaik untuk diketengahkan mewakili negara pada masa depan.

"Kita berharap pencapaian tahun ini lebih baik dan dapat mencungkil bakat baharu," katanya ketika sidang media selepas majlis undian Piala Presiden dan Piala Beliau bagi musim 2024 di Wisma FAM, semalam.

Saingan Piala Presiden dibahagikan kepada dua kumpulan dan akan bersaing secara liga dua pusingan yang bermula 21 April ini.

Format sama diguna pakai untuk Piala Belia yang memulakan saingan 27 April depan, dengan empat pasukan terbaik mara ke suku akhir.

Disiarkan pada: March 5, 2024 @ 5:17pm
d