Badminton

Aaron-Wooi Yik mara, Yew Sin-Ee Yi kandas

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Nasib berbeza dilalui oleh dua beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ketika mereka melalui pusingan pertama Seluruh England di Birmingham hari ini.

Seperti diramal Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kelima tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-17 ketika mereka berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Gandingan profesional, Yew Sin-Ee Yi pula terpaksa akur di atas kehebatan wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi apabila kemenangan di set pertama gagal diteruskan sebelum akur dengan keputusan 21-15, 21-23, 14-21.

Ia adalah kekalahan kali keempat Yew Sin-Ee Yi di tangan pilihan kelapan itu selepas lima pertemuan.

Aaron-Wooi Yik yang juga naib juara 2019, bakal berdepan gandingan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei di pusingan kedua.

Turut mara ke pusingan kedua ialah beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berhempas-pulas untuk mengalahkan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delhine Delrue 12-21, 21-19, 21-14.

Menanti gandingan profesional itu di pusingan kedua ialah Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.

Disiarkan pada: March 13, 2024 @ 12:03am
d