mutakhir

RM2.4 juta lebur, dividen jadi 'abu'

Oleh Hakimi Suria Kencana

Kuala Lumpur: Teruja dengan pelaburan menawarkan pulangan dividen lumayan menyebabkan 107 pelabur kerugian RM2.4 juta akibat diperdaya syarikat pelaburan haram.

Ahli perniagaan, Teoh Chek Wee, 43, berkata, dia mula melabur dalam syarikat pelaburan itu pada tahun 2021 selepas ditawarkan dividen tinggi.

Menurutnya, dia mendapat pulangan dijanjikan pada tahun pertama namun pelaburan itu mula menghadapi masalah apabila memasuki tahun kedua.

"Saya tidak mendapat pulangan dividen dijanjikan menyebabkan wang pelaburan saya lesap," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Gerald Chee Ka Onn, 44, berkata, dia membuat pelaburan berjumlah RM10,000 pada tahun sama.

"Tujuan saya membuat pelaburan ini adalah untuk modal membuka klinik pergigian.

"Namun saya mengalami nasib sama apabila wang dilaburkan lesap apabila syarikat itu difahamkan sudah tidak beroperasi atas pelbagai alasan," katanya.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong, berkata, seramai 107 individu menjadi mangsa membabitkan nilai kerugian RM2.4 juta.

"Kebanyakan pelabur ini terpedaya dengan skim pelaburan terbabit melalui iklan di Facebook dan ajakan rakan-rakan," katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2024 @ 1:20pm
d