mutakhir

Semua pasar raya perlu ambil iktibar isu hina Islam - Ahmad Zahid

Oleh Rosman Shamsudin

Sungkai: Semua pasar raya di negara ini diingatkan tidak mengikut langkah cuai pasaraya KK Mart memasar dan menjual stoking tertera kalimah Allah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan tidak boleh diambil ringan oleh semua pihak.

"Walaupun pihak KK Mart sudah memohon maaf namun ia bukan isu ringan.

"Ini bukan hanya isu agama sahaja tapi satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Warga Felda di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, dekat Sungkai.

Ahmad Zahid berkata isu stoking dengan kalimah Allah yang dijual di KK Mart tersebut terkelas dalam isu 3R iaitu membabitkan isu tersangkut agama (religion), raja (royal) dan kaum (race).

"Ada yang mengambil ringan, mengambil kesempatan dan kita mesti menyelesaikan dengan segera permasalahan ini supaya ia tidak disalah tafsir.

"Kita tidak mahu isu ini ditunggangi oleh mereka yang berkepentingan," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2024 @ 9:53pm
d