mutakhir

Aidilfitri: 53,370 tiket bas ekspres habis dalam dua jam

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Sebanyak 53,370 tiket bas ekspres Konsortium E-Mutiara habis terjual tempoh dua jam sahaja, bagi perjalanan pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, berkata sambutan diterima amat menggalakkan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

"Tiket bas untuk pulang ke Kelantan dalam tempoh enam hari bermula 4 hingga 9 April sudah habis terjual dalam tempoh dua jam sahaja selepas jualan tiket dibuka.

"Alhamdulillah sebanyak 1,186 trip perjalanan pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri dan Konsortium E-Mutiara mempunyai 70 bas ekspres.

"Kita mungkin akan menambah satu atau dua bas untuk perjalanan Kuala Lumpur ke Kelantan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada anak yatim dan asnaf di pejabatnya, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai lebih 300 asnaf dan anak yatim menerima sumbangan zakat yang dianjurkan setiap tahun.

Mengulas lanjut katanya, beliau tidak menyangka sambutan diterima begitu menggalakkan sedangkan mereka mula menjual tiket lebih lewat berbanding pengusaha bas lain.

Disiarkan pada: March 21, 2024 @ 8:52pm
d