Bola Sepak

Sri Pahang FC mungkin beraksi di Temerloh

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) tidak menolak kemungkinan saingan awal Liga Malaysia (Liga M) akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Temerloh.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, perubahan gelanggang itu susulan kerja menaik taraf Stadium Darul Makmur, khususnya padang rumput yang dikatakan bermula Mei depan.

"Setakat ini, saya difahamkan kerajaan negeri Pahang bersetuju Stadium Darul Makmur ditutup bagi kerja menaik taraf padang serta kemudahan lain termasuk lampu limpah bagi meningkatkan lagi kualiti pada tahap terbaik.

"Pemilihan Stadium MPT itu kerana gelanggang terbaik yang ada di Pahang dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah melawat Stadium MPT.

"Ia a menunjukkan perkembangan positif bagi membolehkan saingan Liga M, khususnya Liga Super berlangsung di situ.

"Sebaik kerja menaik taraf Stadium Darul Makmur siap mengikut tempoh ditetapkan, Sri Pahang FC akan kembali beraksi di Kuantan," katanya.

Bulan lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya stadium utama di semua negeri dinaik taraf dengan memanfaatkan peruntukan bantuan geran RM500,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan rekod, Stadium MPT boleh menampung kira-kira 10,000 penonton.

Disiarkan pada: March 22, 2024 @ 9:27pm
d