mutakhir

Biar SPRM siasat pegawai polis terima rasuah

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberkas seorang pegawai kanan polis yang disyaki menerima rasuah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana anggota dan pegawai polis yang terbabit dalam rasuah.

"Secara peribadi, saya konsisten dengan pendekatan dan tindakan saya, di mana saya menyokong penuh tindakan SPRM terhadap sebarang salah laku rasuah.

"Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat sepenuhnya perkara itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes seorang pegawai kanan polis diberkas SPRM kerana dipercayai menerima suapan bagi melindungi aktiviti jenayah.

Menurutnya, sebelum ini beliau pernah memberi amaran kepada anak buahnya yang terbabit dalam aktiviti tidak sepatutnya supaya segera berubah.

"Pesanan saya sebelum ini 'change or you will be changed'. Berdasarkan perkembangan terkini, adalah wajar saya mengubah pesanan itu kepada 'change or you will be chained'.

"Anda perlu menerima hukuman atas perbuatan yang anda lakukan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ditahan bersama wang lebih RM1 juta selepas dipercayai terbabit melindungi aktiviti haram.

Penahanan pegawai kanan yang bertugas di sebuah jabatan itu dilakukan di Putrajaya, Sabtu lalu.

Disiarkan pada: March 27, 2024 @ 3:34pm
d