mutakhir

'Transit' gula dalam hutan sebelum seludup keluar

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Anggota Tentera Darat mengesan lokasi 'transit' gula yang akan diseludup ke negara jiran di kawasan hutan di Ba'kelalan, di utara Sarawak, hari ini.

Gula terbabit ditemui ditutup dengan kanvas di lokasi yang terletak kira-kira 900 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, turut ditemui tiga tong yang mengandungi diesel yang keseluruhannya berjumlah 105 liter.

Menurutnya, barangan seludup itu ditemui pasukan Tentera Darat yang sedang menjalankan operasi di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) di Sektor Op Jagakawan, di Kampung Punang, Ba'kelalan, pada jam 9.45 pagi.

"Ketika menjalankan rondaan berdekatan sempadan, anggota Tentera Darat menjumpai bungkusan kanvas yang mencurigakan.

"Hasil daripada pemeriksaan mengesahkan terdapat 35 karton gula berjumlah 420 kilogram dan tiga tong minyak diesel dengan setiap tong mengandungi 35 liter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua hasil rampasan itu dianggarkan bernilai RM 1,422.75.

"Laporan polis dibuat di Pondok Polis Ba'kelalan dan kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Lawas pada 3 April 2024," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 6:33pm
d