mutakhir

Mayat bayi ditemukan di dalam tangki pam tandas masjid

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: Mayat bayi lelaki ditemukan seorang tukang kebun di dalam tangki pam tandas perempuan di Masjid Kampung Pasir Simpul, kira-kira jam 7 malam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Simpul Muhammad Mustaffa berkata, dia dimaklumkan tukang kebun masjid, Junaidi Sulaiman, 40-an, mengenai penemuan mayat terbabit.

Menurutnya, tukang kebun masjid itu memberitahu, ketika mencuci tandas dia terhidu bau busuk selain pam tandas itu tersumbat.

Katanya, Junaidi kemudian bertindak mencungkil tangki pam tandas berkenaan sebelum kelihatan tangan terjulur dari takungan pam itu.

"Terkejut dengan penemuan itu, Junaidi kemudian menghubungi saya dan pengerusi masjid sebelum menghubungi polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mayat bayi terbabit ditemui kira-kira 7 malam.

Menurutnya, bayi berjantina lelaki yang cukup sifat dan mereput itu sudah meninggal dunia melebihi 24 jam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan suspek masih dikesan.

Disiarkan pada: April 17, 2024 @ 12:17pm
d