mutakhir

KPDN Kedah serbu stor haram simpan minyak diesel

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sebuah stor haram tanpa lesen dan permit menyimpan minyak diesel, diserbu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaluddin berkata, serbuan 3 petang yang disertai lapan penguat kuasa KPDN Kedah berdasarkan risikan yang dilakukan di stor tidak bernombor di Napoh, di Kubang Pasu.

Beliau berkata, ketika serbuan, terdapat enam lelaki iaitu lima warga tempatan dan seorang warga asing dipercayai pekerja di premis terbabit.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak diesel yang disimpan di premis berkenaan tanpa lesen atau permit sah.

"Berikutan itu, kesemua enam pekerja di lokasi kejadian ditahan untuk membantu siasatan dan kesemua mereka berusia antara 20 hingga 35 tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Nizam berkata, pihaknya kemudian menyita 6,900 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM14,145 dan 10 unit tangki IBC, sebuah kenderaan berpendaftaran asing dan dua kenderaan berpendaftaran tempatan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM93,245.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2024 @ 10:14am
d