mutakhir

Saingan 4 penjuru di PRK Kuala Kubu Baharu

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Hulu Selangor: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Dalam pertandingan kali ini, Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao bakal ditentang tiga lagi calon.

Beliau bakal berhadapan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut serta dua lagi calon iaitu Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin berkata, tiada kertas penamaan calon yang ditolak oleh pihaknya.

"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya," katanya di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah hari ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, Lee Kee Hiong dari PH memperoleh majoriti 4,119 undi menewaskan tiga pencabarnya yang lain iaitu Chng Boon Lai (PRM), Teoh Kien Hong (PN) dan Dr R Siva Prakash (Muda).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Disiarkan pada: April 27, 2024 @ 11:24am
d