mutakhir

Jurulatih patah paha kiri, pelatih cedera di muka

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Tanjung Malim: Jurulatih penerbangan patah paha kiri, manakala pelatih wanita cedera di muka selepas pesawat ringan terhempas dalam kawasan ladang dekat Sungkai, di sini, hari ini.

Dua individu di dalam kapal terbang CESSNA 172 itu dikenali sebagai Kapten Shahrul Imran, 30-an, dan pelatih, Le Ho Jia, 20-an.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.46 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bersama bantuan BBP Bidor dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Makluman awal diterima memaklumkan sebuah kapal terbang jatuh berdekatan Ladang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Sungkai.

"Kedua-dua mangsa mangsa dijumpai di mana jurulatih penerbangan lelaki mengalami patah paha kiri, manakala seorang pelatih wanita cedera di bahagian muka.

"Kerja pemindahan mangsa ke jalan besar dijalankan menggunakan kenderaan pacuan empat roda," katanya dalam kenyataan, di sini.

Terdahulu, tular video berdurasi 19 saat memaparkan orang awam menemui sebuah kapal terbang terjatuh di dalam kawasan ladang.

Video berkenaan menunjukkan mangsa wanita meminta pertolongan bagi mengeluarkan seorang lagi mangsa iaitu jurulatih penerbangan.

Pesawat jatuh ketika berpatah balik - Polis

Disiarkan pada: May 4, 2024 @ 1:43pm
d