Bola Sepak

Pilj gembira penampilan pertama catat aksi positif

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Marin Pilj akui pasukannya memerlukan sedikit masa lagi untuk benar-benar mantap.

Jelas 'arkitek' kelahiran Croatia itu, aksi berdepan Perak FC Sabtu lalu memperlihatkan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan skuad Penyu mampu 'berenang' lebih jauh lagi pada musim ini.

Bagaimanapun pemain berketinggian 1.65 meter itu tanpa berselindung mendedahkan, ramai muka baharu selain beberapa pemain tonggak yang cedera antara faktor pasukannya belum mantap lagi.

"Keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pasukan kerana kami mengamalkan corak permainan lebih kepada mengawal bola dan menyerang.

"Lebih menggembirakan, penampilan pertama saya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kami berjaya merakam kemenangan biarpun terpaksa berhempas pulas.

"Namun saya berpandangan kami memerlukan sedikit masa lagi untuk benar-benar solid dan berkualiti kerana ramai muka baharu dalam pasukan selain ada pemain tonggak mengalami kecederaan.

"Secara peribadi pertemuan kedua berdepan Penang FC pada 19 Mei ini di tempat lawan, saya mengharapkan corak permainan kami lebih baik dalam misi untuk memburu kemenangan kedua," ujar Pilj.

Pada aksi menentang skuad The Bos Gaurus itu, pemain gantian skuad kendalian Tomislav Steinbruckner menjadi penyelamat selepas TFC berjaya melakar kemenangan 3-1.

Disiarkan pada: May 13, 2024 @ 3:04pm
d