mutakhir

'Saya sayang ibu'

Oleh Shamsul Munir Safini

Butterworth: “Saya kenal ibu dan saya sayangkannya,” demikian kata kanak-kanak perempuan berusia lima tahun selepas ditunjukkan gambar ibunya di Wad Kanak-Kanak Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, semalam.

Dia yang cedera akibat didera ibunya berusia 41 tahun kini stabil, namun trauma dengan kejadian ngeri menimpanya pada Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk A Thaiveegan ketika melawatnya berkata, mangsa stabil, namun memerlukan sedikit masa lagi untuk pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, polis memandang serius kejadian berkenaan yang menyentuh perasaan banyak pihak dan keprihatinan orang ramai terutama jiran tetangga di dalam kes terbabit amat dihargai.

“Mangsa stabil dan kami akan berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengikuti perkembangannya termasuk selepas dia keluar dari hospital kelak.

“Setakat ini, belum diputuskan lagi mangsa akan tinggal dengan siapa dan ia bergantung kepada keputusan JKM sama ada dia tinggal di pusat perlindungan kelolaan mereka atau tinggal dengan neneknya di Kuala Lumpur.

“Pada masa sama, kami menghargai keprihatinan dan sikap ambil tahu jiran yang menyelamatkan mangsa daripada didera dan kami menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian sebegini di tempat tinggal mereka supaya tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Thaiveegan berkata, kawasan persekitaran tempat tinggal mangsa di Kampung Manis, Prai akan diberikan perhatian oleh Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor kerana ia lokasi panas dadah, namun kejadian sebegitu tidak berpunca daripada lokasi tempat tinggal semata-mata.

Beliau berkata, faktor kejadian sedemikian lebih kepada hubungan antara seorang ibu dan anak serta psikologi seseorang yang kadangkala mengalami gangguan mental serta kematangan mereka mengendalikan sesuatu perkara.

Menurutnya, pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan dan suspek akan dituduh di mahkamah secepat mungkin.

Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang Said Sidup ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memohon perintah daripada mahkamah untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara bagi menjaga kanak-kanak berkenaan.

“Ketika ini JKM memang membuat pemantauan terhadap mangsa yang masih dirawat di HSJ dan kami akan pastikan kanak-kanak itu pulih terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lain.

“Selepas dibenarkan keluar dari HSJ, kanak-kanak berkenaan akan ditempatkan sementara di Taman Bakti Kanak-Kanak di Kepala Batas di bawah jagaan JKM sebelum membenarkan anggota keluarganya menjaganya.

“Kami akan menyediakan laporan sosial dan pada masa sama mengesan anggota keluarga kanak-kanak itu yang paling sesuai untuk menjaganya kerana saya difahamkan bapanya ditahan di penjara atas kesalahan dadah manakala ibunya ditahan kerana menderanya,” katanya.

Beliau berkata, JKM akan menyerahkan laporan kepada mahkamah untuk menentukan siapa yang akan menjaga kanak-kanak berkenaan selepas ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, hanya kerana enggan mengulangkaji pelajaran, mangsa parah dibelasah ibunya yang dipercayai khayal dadah di Kampung Manis, Prai.

Disiarkan pada: February 5, 2016 @ 7:32am
d