mutakhir

Bekalan ikan makin kurang

Tumpat: Perusahaan ikan kering di Kampung Geting, Sri Tujuh, di sini, berdepan situasi sukar apabila bekalan ikan berkurangan berikutan cuaca panas melampau.

Seorang pekerja perusahaan itu, Musa Mamat, 54, berkata, walaupun cuaca panas memberi kelebihan kerana ikan dicemur kering dalam tempoh cepat, bekalan ikan pula semakin berkurangan.

“Biasanya kita dengar nelayan tidak mendapat hasil tangkapan ketika tengkujuh, tetapi musim kemarau juga keadaannya serupa berikutan mereka bergelut untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

“Ikan yang kami usahakan di sini dibawa dari utara kerana kekurangan hasil laut tempatan. Bukan semua ikan sesuai dibuat ikan kering.

“Jika diikutkan trend sebelum ini, ikan perairan Kelantan akan banyak pada Mei atau Jun selain musim tengkujuh.

“Jika musim tengkujuh, kita terima lebih 3,000 kilogram ikan sehari, namun musim panas ini, kita hanya terima hanya kira-kira 500 kilogram ikan,” katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan cuaca panas memudahkan kerja menjemur ikan yang memerlukan cahaya matahari bagi membolehkan ia kering dengan sempurna, namun tidak berbaloi sekiranya ikan berkurang.

Dia lebih suka musim tengkujuh kerana bekalan ikan yang diterima banyak, malah boleh disimpan dalam tempoh yang lama.

“Walaupun cuaca tidak menentu pada musim tengkujuh, ia tidak menjadi masalah kerana permintaan pada musim itu sangat tinggi.

“Ikan boleh disimpan di dalam air garam sehingga tempoh sebulan dan akan dijemur apabila cuaca panas selama sehari setengah atau lebih, bergantung kepada keadaan cuaca.

“Berbeza ketika kemarau, ikan hanya dijemur selama sehari tapi kuantiti berkurangan,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2016 @ 5:15am
d