mutakhir

Syarikat binaan makin disiplin

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Penguatkuasaan dan pemantauan berterusan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berjaya mendisiplinkan syarikat binaan supaya sentiasa mematuhi akta dan peraturan berkaitan industri terbabit.

Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan Razuki Ibrahim berkata, statistik tahun lalu menunjukkan penurunan 50 peratus syarikat binaan dikenakan tindakan tatatertib dan pendakwaan berbanding pada 2014.

Katanya, penurunan itu merangkumi kontraktor yang dibawa ke prosiding tatatertib iaitu 146 kes pada 2014 namun tahun lalu menunjukkan penurunan kepada 69 saja.

“Amaran biasa pula pada 2014 mencatatkan 81 kes manakala kontraktor yang dibawa ke mahkamah pula 53 kes, namun 2015 kedua-dua kesalahan itu menurun iaitu masing-masing 35 dan sembilan kes saja.

“Pemantauan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan CIDB bukan mahu mencari kesalahan syarikat binaan, namun lebih kepada mendidik supaya mematuhi peraturan ditetapkan demi kepentingan bersama,” katanya dalam operasi bersepadu CIDB bersama agensi kerajaan, di sini, semalam.

Sementara itu, CIDB menjalankan operasi di dua tapak binaan iaitu di di Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Cochrane, di sini bagi memantau tahap pematuhan syarikat binaan kepada akta dan peraturan berkaitan industri terbabit.

Operasi berkenaan turut disertai agensi lain termasuk Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kawalan dan Pengawasan Bangunan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Razuki berkata, pihaknya menguatkuasakan Akta 520 CIDB 2011 yang menjurus kepada peraturan pendaftaran kontraktor (seksyen 25), levi (seksyen 34), dan pendaftaran personal binaan (seksyen 33) serta bahan binaan (seksyen 33C (1)).

“Kebiasaannya, CIDB menguatkuasakan Akta 520 secara pemeriksaan tapak binaan melalui lawatan tapak berkala, notis CIDB dan aduan orang awam sama melalui e-bantuan CIDB, pihak berkuasa tempatan atau arahan khas pihak pengurusan tertinggi,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2016 @ 8:17am
d