mutakhir

NSTP lancar FullAMark

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) melancarkan portal pendidikan dan aplikasi mobile iaitu FullAMark sebagai satu usaha untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar dalam peperiksaan.

FullAMark adalah program pembelajaran atas talian yang dibangunkan khusus untuk membantu pelajar mengulang kaji pelajaran setiap minggu selain membuat latihan secara intensif dan praktikal setiap minggu.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdulah berkata, FullAMark dibangunkan untuk memberikan satu lagi nilai tambah kepada sumber rujukan pendidikan maya di negara ini.

Katanya, kandungan yang terdapat dalam FullAMark dapat memberi panduan dan bimbingan kepada pelajar melalui pembelajaran latih tubi dengan cara yang lebih interaktif membabitkan gabungan audio dan visual untuk meningkatkan pemahaman.

“Antara pengisian portal ini ialah latihan mingguan, ujian, bank soalan, rujukan dan elemen interaksi bersama rakan serta guru menerusi e-guru, selain menampilkan pelbagai berita dunia pendidikan,” katanya.

Kandungan FullAMark merangkumi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Sains dan Matematik untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan mata pelajaran BM, BI, Matematik dan Sejarah.

Latihan yang disediakan adalah berdasarkan silibus dan pentaksiran terkini yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan dan disediakan oleh penulis sisipan pendidikan akhbar Berita Harian iaitu Didik, Minda dan Skor serta sisipan pendidikan New Straits Times, New School Times.

Antara tarikan portal ini ialah pelajar didedahkan dengan pelbagai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) selain calon UPSR didedahkan dengan format baharu UPSR tahun 2016.

Mohammad Azlan berkata, portal FullAMark bukan saja mempunyai pengisian paling komprehensif, malah boleh didapati melalui telefon pintar, tablet, komputer riba dan komputer peribadi.

“Selepas membuat langganan, pelajar boleh membuat turun aplikasi ini secara percuma melalui telefon pintar atau tablet untuk membolehkan mereka mengulangkaji subjek yang dipilih pada bila-bila masa dan di mana saja,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2016 @ 5:26am
d