mutakhir

'Bola sepak sawah sebati dengan jiwa'

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Lebar Ahmad Awaluddin berkata, bola sepak sawah adalah satu permainan mesti dilakukan setiap kali program sebegini berlangsung di kampung ini.

“Boleh dikatakan setiap tahun kampung ini sering terpilih untuk program membabitkan siswa dan siswi. Tidak kira samada program pengambilan anak angkat atau gotong royong.

“Namun, setiap kali ada program anak angkat, saya pasti akan mengatur perlawanan bola sepak sawah antara siswa dan penduduk kampung. Bola sepak sawah sebati dengan jiwa kami kerana sejak kecil, sawah menjadi sumber rezeki kami.

“Selain itu, ia boleh menambah keakraban dan semangat kerjasama antara penduduk yang bercucuk tanam dan menuai padi,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Lebar sempena program Bakti Siswa@Kampung.

Menurutnya, kali ini lumpur sawah kurang memandangkan cuaca panas dan kering melanda daerah ini.

Sementara itu, Fasilitator program, Siti Noridayu Abd Nasir, 28, berkata, program membabitkan 63 siswa dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) Serdang, Selangor dan 25 siswa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dan turut mendapat penajaan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Mereka, penuntut tahun dua, tiga dan empat membabitkan pelbagai jurusan seperti Perhutanan, Bahasa Melayu dan Pendidikan.

“Selama tiga hari di sini, mereka diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing di tiga buah kampung iaitu Kampung Padang Lebar, Terachi dan Godang.

“Pelbagai aktiviti diatur antara siswa dan penduduk kampung seperti Kanak-Kanak Cilik membabitkan masyarakat Orang Asli Kampung Ulu Mampas, program kesihatan 10 ribu langkah, program bersama belia, melukis mural, program bersama KPDNKK, bola sepak sawah dan memancing ikan puyu,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2016 @ 5:33am
d