Abdul Halim menunjukkan permainan Pokemon Go.

Melaka: Permainan siber Pokemon Go menimbulkan rasa kurang senang masyarakat apabila pengumpul karakter permainan interaktif itu didakwa kerap menjadikan kawasan masjid sebagai lokasi pencarian.

Mengulas perkara itu, Mufti Melaka Abdul Halim Tawil berkata, mengikut maklumat diterima pihaknya, permainan berkenaan seperti menyerang rumah ibadat, namun masih terlalu awal bagi pihaknya untuk menyokong dakwaan terbabit.

“Berdasarkan maklumat kami peroleh dan demonstrasi dilakukan, ia (Pokemon Go) seperti menyerang institusi rumah ibadat. Saya tidak pasti dengan rumah ibadat agama lain tetapi lokasi pencariannya dilaporkan kerap berlaku di masjid.

“Saya tidak dapat komen dengan lebih lanjut mengenai (dakwaan) sama ada rumah ibadat menjadi sasaran dan kami masih memantau kemungkinannya.

“Kami juga tidak tahu apa agenda yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri Bilangan Tiga 2016 di Pejabat Mufti, semalam.

Terdahulu, Abdul Halim memaklumkan, Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan permainan siber Pokemon Go mesti dijauhi umat Islam dan dilarang daripada dimainkan kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan.

Menjelaskan perkara itu beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam mengenai permainan interaktif terbabit dengan melihat daripada konteks umum yang dibimbangi boleh membawa kepada haram.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam satu kenyataan berkata, karakter Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor maslahah dan kemudaratan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:50 AM