Abdul Aziz memasang Jalur Gemilang pada motosikal.
myMetro

Alor Gajah: Setiap kali menggantung Jalur Gemilang di halaman rumah, Abdul Aziz Omar, 86, sayu kerana terkenang detik bertugas sebagai anggota kawalan kehormatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur ketika Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj melaungkan perkataan ‘merdeka’ 59 tahun lalu.

Laungan keramat itu masih terngiang-ngiang di telinga bekas anggota Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkenaan setiap kali dia dan isteri, Puteh Ahmad, 65, memasang Jalur Gemilang di kediaman mereka di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah di sini.

Menceritakan detik bersejarah berkenaan, Abdul Aziz yang ketika itu berusia 27 tahun dan berpangkalan di Kem Pangkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan bangga dipilih menyertai perbarisan.

“Kami berlatih kawad di Stadium Merdeka tiga hari sebelum berlangsungnya upacara itu. Sekarang, setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, saya mesti pasang bendera di rumah kerana seluruh jiwa saya terasa bergetar apabila terkenangkan peristiwa itu.

“Detik bersejarah itu tidak akan luput dalam ingatan saya dan menjadi pendorong untuk terus memelihara kedaulatan negara dengan cara sendiri selepas bersara daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Bukan saja semangat patriotik dalam diri masih menebal, pasangan itu bersama-sama menggantung Jalur Gemilang bagi memperingati tarikh pernikahan mereka yang jatuh pada 31 Ogos 1995.

Abdul Aziz berkahwin buat kali kedua dengan Puteh selepas isteri pertama, Allahyarhamah Che Non Bidin meninggal dunia beberapa tahun sebelum itu. Suami Puteh pula, arwah Karim Mat Yassin meninggal dunia pada 1991.

Pasangan itu merentangkan Jalur Gemilang bersaiz kecil dari anjung sehingga ke pagar rumah selain memasangnya pada motosikal dan kereta.

“Setiap kali Jalur Gemilang berkibar di halaman rumah, sebagai pesara tentera, saya bangga kerana berpeluang mempamerkan semangat patriotik,” katanya.

Sementara itu, Puteh berkata, suaminya turut mengeluarkan wang simpanan untuk membeli Jalur Gemilang bagi menghias perkarangan surau yang terletak kira-kira 80 meter dari rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 9:18 AM