mutakhir

Pantau penumpang Singapura

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Penumpang dari Singapura yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini, mula menjalani saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas daripada virus Zika.

Tinjauan Harian Metro di LTSAS mendapati beberapa kakitangan jabatan kesihatan ditempatkan di pintu masuk ketibaan untuk melakukan saringan kesihatan.

Pengurus Lapangan Terbang Malaysia Airport Sdn Berhad LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan pemeriksaan rapi mencegah penularan Zika.

“Lapangan terbang di sini bukan seperti lapangan terbang antarabangsa yang menempatkan peralatan perubatan lengkap, jadi sekiranya ada penumpang dikesan mempunyai virus berkenaan, kita akan terus menghantar ke Klinik Kesihatan Gunung Rapat,” katanya ketika ditemui di LTSAS, di sini, semalam.

Mohd Ali berkata, setakat ini pihaknya tidak mendapat sebarang makluman mengenai kes virus Zika.

“Kadar penumpang masih tidak terjejas serta memenuhi 80 peratus pesawat,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan jabatan kesihatan berkata, setiap penumpang akan menjalani proses saringan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan lapangan terbang.

“Kita hanya memeriksa penumpang yang tiba dari Singapura sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2016 @ 5:16am
d