MUHAMAD Suhaimi menunjukkan antara lukisan rekaan yang dihasilkannya di Program Gerbang Kerjaya IKBN Wakaf Tapai 2016 di IKBN Wakaf Tapai, Marang.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my

Marang: Dia masih bergelar penuntut tetapi kreativiti dan skil tinggi yang dimilikinya dalam bidang fesyen membolehkan Muhamad Suhaimi Sahari, 22, mengumpul RM20,000 hasil kemenangan dalam beberapa pertandingan yang disertainya, selain aktif mengambil tempahan.

Boleh dikatakan dalam setiap pertandingan rekaan fesyen yang disertai, pemuda itu tidak pernah mengecewakan apabila sering menjadi juara, naib juara atau paling tidak antara lima peserta terbaik.

Penuntut semester empat Diploma Fesyen di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai di sini, mendakwa, minat mendalam terhadap bidang fesyen dan sokongan berterusan keluarganya menjadi pendorong untuk dia cemerlang dalam bidang diceburinya itu.

“Jika dikumpulkan nilai kemenangan sepanjang 13 kali penyertaan dalam pertandingan fesyen, saya sudah kumpul RM10,000.

“Paling berbaloi apabila dipilih sebagai juara pertandingan ‘Moh Glam’ di Seremban, Negeri Sembilan dan naib juara ‘Selangor Orked Fashion Festival’ yang membolehkan saya meraih RM3,000 pada tahun lalu.

“Saya juga selalu mengambil tempahan membuat baju pengantin dan boleh dikatakan hampir setiap bulan terima tempahan.

“Bagaimanapun, saya hanya dapat siapkan sepasang pakaian sebulan kerana terpaksa membahagikan masa untuk belajar,” katanya ketika ditemui di Program Gerbang Kerjaya dan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) IKBN Wakaf Tapai 2016.

Menurut pemuda berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu, pada mulanya bidang fesyen adalah pilihan keduanya selepas masakan tetapi kini menjadi minat utamanya.

“Sebelum ini, saya pernah mengambil jurusan kulinari di sebuah kolej tetapi tidak dapat meneruskannya kerana memang tidak mampu memberi yang terbaik.

“Selepas itu, saya ambil bidang fesyen pada 2014 dan ternyata pilihan ini paling tepat,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.

“Saya akan bekerja dulu untuk mencari pengalaman dan kemudiannya diikuti dengan memulakan perniagaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Kurikulum dan Pentauliahan (Pembangunan Kemahiran Belia) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Zakiah Mat Jali @ Md Jelani berkata, keengganan segelintir bekas penuntut IKBN berhijrah dari tempat asal mereka dikesan menjadi punca kira-kira 10 peratus daripada lepasan institusi itu tidak mempunyai pekerjaan atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 10:05 AM