mutakhir

Laluan dibuka [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Selepas hampir 58 jam perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Ipoh ke Kampar tergendala akibat kereta api kargo yang tergelincir di Kampung Bakap, Batu Gajah, Jumaat lalu, perkhidmatan itu akhirnya kembali beroperasi jam 3.40 petang semalam.

Tinjauan di Stesen KTM Ipoh mendapati pengguna tidak perlu lagi menggunakan bas transit ke Kampar ke destinasi masing-masing selepas satu laluan dibuka semula.

Difahamkan, satu laluan landasan dibuka bagi perjalanan kedua-dua arah selepas kerja pengalihan gerabak kereta api kargo yang tergelincir selesai.

Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Ridhwan Arshad berkata, kerja keras kakitangan KTMB berjaya mengalihkan kargo berkenaan sebelum laluan itu dapat dilalui seperti biasa.

“Kami menjangkakan kapasiti penumpang yang ramai pada tengah hari serta petang semalam (kelmarin) dan disebabkan itu kami berusaha memastikan perkhidmatan boleh dimulakan hari ini (semalam).

“Kami memohon maaf atas kelewatan walaupun pada mulanya menjangkakan masalah ini dapat diselesaikan bermula perjalanan jam 5 pagi tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: October 31, 2016 @ 10:54am
d