mutakhir

Lelaki maut kereta dirempuh pacuan empat roda

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

Penampang: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Penampang, berhampiran Penampang Baru, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Izwanizam Stephenson, 27, dari Kampung Bayangan, Keningau itu yang parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (HQE) II pada jam 5.24 pagi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, dalam kejadian jam 4.10 pagi, mangsa yang memandu Toyota Vios itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Penampang Baru dari arah pekan Donggongon.

Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun itu dari arah bertentangan.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Toyota Vios membelok ke kanan sebelum dirempuh Toyota Hilux berkenaan.

“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu Hilux terbabit tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian pintu pemandu sehingga mangsa tersepit di dalam kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dikejarkan dengan ambulans ke HQE II untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Dalam pada itu, Rosley berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat di minta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 22, 2016 @ 9:02am
d