mutakhir

'Sini harga sama'

Oleh Siraj Mohd Zaini dan Suzaini Sulaiman

Tanjong Karang: Di sebalik keluhan orang ramai dan peniaga berhubung kenaikan harga hasil laut, penduduk kawasan ini bernasib baik berikutan barangan basah itu masih dijual pada harga berpatutan.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa lokasi termasuk di Jeti Pendaratan Ikan di Bagan Pasir di sini, semalam, mendapati harga ikan kembung dijual pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram (kg) bergantung kepada saiznya.

Bagi setiap kilogram, ikan cencaru pula dijual pada harga RM7 hingga RM9, sotong pelbagai saiz antara RM8 hingga RM15 dan udang dijual RM15 hingga RM25.

Harga ikan yang dijual di pasar berdekatan seperti
di Pasar Awam Tanjong Karang dan Sekinchan juga tiada perbezaan kerana sudah ditetapkan pemborong.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Hasnah, 40-an, berkata, walaupun banyak jeti pendaratan ikan di kawasan itu, namun dia terpaksa mengambil bekalan dari lokasi lain termasuk Hutan Melintang, Perak dan Pasar Borong Selayang akibat kekurangan hasil laut.

Menurutnya, kenaikan harga yang berlaku walaupun hanya sedikit sememangnya turut menjejaskan pendapatannya.

“Bekalan ikan memang kurang kerana dipengaruhi cuaca, tetapi kami (peniaga) tidak boleh menaikkan harga. Pelanggan bukan mahu membeli ikan yang mahal.

“Apabila harga naik walaupun satu ringgit, kami tidak dapat untung banyak dan cukup sekadar untuk kos modal serta sewa kedai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, nelayan Bagan Pasir, Wong Ah Ming, 40-an berkata, selain faktor cuaca, sambutan perayaan Tahun Baru Cina turut mendorong harga hasil laut meningkat.

“Nelayan tidak dapat membawa hasil yang banyak kerana hujan dan ribut di laut. Air laut menjadi sejuk dan ikan tidak banyak diperoleh.

“Sambutan Tahun Baru Cina juga menjadi faktor harga ikan naik dan ia akan turun semula. Ia adalah perkara biasa setiap tahun,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2017 @ 9:59am
d