mangsa dibunuh berhampiran Stadium Bukit Jalil.
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan gila dan melampau apabila sekumpulan samseng Indonesia menyerang dan membunuh seorang lelaki di kawasan terbuka berhampiran Stadium Bukit Jalil, di sini.

Dalam kejadian jam 2.50 petang semalam, mangsa seorang buruh warga Indonesia berusia 30 tahun ditemui maut dengan kesan tetakan dan kelar di seluruh tubuh.

Mangsa yang ditemui terbaring bermandi darah di pagar stadium dipercayai diserang sekumpulan lima hingga 10 lelaki bersenjatakan parang.

Mangsa dipercayai diserang kumpulan suspek bersenjatakan parang dan celoret bermotifkan dendam.

Sumber polis berkata, kejadian serangan berlaku sebaik mangsa dan beberapa rakannya tiba di stadium itu dengan menaiki bas dari Kota Kemuning, Shah Alam.

Menurutnya, mangsa dikatakan mahu berkunjung ke karnival yang diadakan di kawasan berkenaan.

“Sebaik turun dari bas, mangsa dan rakannya diserang sekumpulan lima hingga 10 lelaki bersenjatakan parang dan celoret.

“Rakan mangsa melarikan diri, namun mangsa ditetak berulang kali kumpulan terbabit sebelum mereka (penyerang) melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, mangsa dilapor parah dan tidak sedarkan diri selepas diserang kumpulan lelaki terbabit.

“Rakan mangsa menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian itu. Sepasukan polis yang dikejarkan ke lokasi kejadian bagaimanapun mendapati mangsa sudah mati.

“Pihak berkuasa merakam percakapan beberapa saksi termasuk rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:11 AM