mutakhir

Sedia lebih awal

Rata-rata mereka mahu menyediakan kelengkapan lebih sempurna untuk keluarga dan mengelak daripada membeli-belah pada saat akhir.

Tinjauan Harian Metro di sekitar bandar raya ini termasuk Seksyen 7, semalam mendapati pelbagai premis jualan dipenuhi pengunjung yang bimbang kesibukan berbuat demikian apabila menjelang puasa kelak.

Pengunjung, Amzam Zakaria, 51, dari Raub, Pahang, berkata dia mula membeli kain untuk menjahit baju dan masih meninjau barangan keperluan lain supaya tidak membeli-belah di saat akhir nanti.

Menurutnya, dia mengambil kesempatan membeli-belah sambil melawati anak sulungnya yang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam.

“Kebiasaannya, saya datang ke Kuala Lumpur untuk membeli kelengkapan atau pakaian raya. Namun, secara kebetulan saya berada di Shah Alam lalu mengambil peluang melihat tawaran harga yang diberikan peniaga.

“Tahun ini, saya bercadang untuk menukar langsir baru dan kami sekeluarga masih mencari yang bersesuaian, ” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Norazlin Mohd Amin, 39, berkata dia sememangnya membuat persiapan awal setiap tahun supaya dapat memakai warna pakaian sedondon dan tiada masalah berkaitan saiz.

“Selain beberapa pakaian yang ditempah, ada juga yang dibeli secara sudah siap di kedai. Saya mempunyai lima anak berusia tiga hingga 16 tahun dan kebiasaannya kami sekeluarga akan sedondon di pagi raya pertama. Warna tema biru menjadi pilihan pada tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2017 @ 3:02am
d