mutakhir

Kerugian tahun lalu dikurangkan

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

PERTUBUHAN Peladang Kawasan (PPK) Kangkong, Pasir Mas berjaya mengurangkan kerugian sehingga RM53,000, tahun lalu berbanding RM1.7 juta pada 2015.

Pengerusi Ahli Jemaah PPK Kangkong, Datuk Aimi Jusoh berkata, pengurangan berjaya dilakukan hasil transformasi besar-besaran termasuk mengurangkan kos dan memperkasakan transformasi.

"Kerugian yang dialami pada 2015 disebabkan kerosakan mesin pengering di kilang padi PPK Kangkong akibat daripada lambakan padi yang diterima dari PPK seluruh negeri.

"Kilang padi kita hanya mampu menerima 200 tan metrik sehari, namun pada 2015, kita proses sehingga 400 tan metrik sehari," katanya ketika ditemui Mesyuarat Agung Kali ke-42 PPK Kangkong di Pasir Mas, hari ini.

Ketika itu juga, beliau berkata, PPK Kangkong mengambil tanggungjawab membeli semua padi yang dihantar bagi mengelakkan petani kerugian.

Bagaimanapun, dengan bantuan serta peruntukan diterima daripada Lembaga Pertubuhan Peladang Negara (LPPN), pihaknya dapat membaik pulih mesin dengan segera dan kerugian ditanggung berjaya dikurangkan.

"Insya-Allah tahun ini kita akan mencatat keuntungan melalui kerjasama yang sudah dilakukan dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Padi Beras Nasional (BERNAS)," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 4:45pm
d