mutakhir

Bantu siasatan kutip wang perlindungan [METROTV]

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

TIGA pegawai polis dan tiga orang awam ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka.

Pegawai polis yang ditahan reman membabitkan dua berpangkat Asisten Superintendan dan seorang Inspektor.

Keenam-enam suspek terbabit berusia antara 31 hingga 50 tahun.

Perintah tahanan dikeluarkan oleh Majistret Muhamad Safuan Azhar di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini, sehingga 22 Mei.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan semua suspek dalam operasi bermula 9.30 pagi hingga 9.50 malam.

Dalam pada itu, sumber SPRM ketika ditemui berkata, tiga lagi pegawai polis akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan tahanan reman bagi kes sama 2.30 petang ini.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 11:50am
d