mutakhir

Pasangan peruntuk RM2,500 sebulan bela 86 kucing

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Sedih dengan kejadian seekor kucing peliharaan mati dilanggar kereta, mendorong pasangan suami isteri untuk memelihara 86 kucing daripada pelbagai spesies.

Kematian kucing pertama kira-kira tujuh tahun lalu itu, membangkitkan rasa kasih Fairuz Abdullah, 43, dan isteri Rozita Harun, 46, terhadap kucing sehingga sanggup berhabis wang ringgit demi menjaga haiwan peliharaan itu sebaiknya.

Fairuz berkata, pada mulanya dia tidak minat dengan kucing berbanding isterinya, namun peristiwa itu menyentuh perasaannya sehingga mengubah minatnya.

Menurutnya, dia membeli empat kucing baka tempatan selain membela kucing jalanan yang dikutip di serata tempat termasuk ada yang ditinggalkan di hadapan rumah.

“Saya tidak kisah kucing jalanan yang terbiar dan berkurap juga saya kutip. Malah, pernah berlaku kejadian seekor kucing disepak individu di kedai makan di Tampin menyebabkan saya simpati dan membawanya pulang ke rumah.

“Saya tidak boleh melihat kucing terbiar dan sakit, pasti saya berasa sedih,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Kucing Sempena Festival Pelancongan Negeri Sembilan di Pusat Pameran dan Konvensyen Senawang (SECC), di sini, kelmarin.

Fairuz yang juga bekas kakitangan Rumah Media Melaka (RMM) berkata, dia memperuntukan kos RM2,500 sebulan bagi menjaga dan memelihara kucing, tetapi ia tidak membebankan kehidupan hariannya malah mengakui semakin cinta kepada haiwan itu.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 5:58am
d